Wednesday, February 18, 2009

Kontrak Oh Kontrak


Pening juga memikirkan bilakah masanya pengurus Liverpool, Rafael Benitez akan menurunkan tandatangan ke atas kontrak baru dan seterusnya menyambung kesinambungan rancangan jangka panjang beliau untuk Liverpool. Beliau telah berulangkali menyatakan yang beliau mahu berada di Liverpool untuk jangka masa yang panjang dan membantu Liverpool menjadi pasukan yang disegani di Eropah dan dunia amnya.

Isu kontrak beliau yang seiring dengan isu kontrak pertahanan tengah Liverpool, Daniel Agger telah memakan masa berbulan lamanya. Banyak spekulasi yang telah timbul dari media disebabkan oleh isu kontrak yang tak kunjung sudah ini. Seperti yang kita sudah sedia maklum, kewangan bukan menjadi masalah utama kepada Rafael Benitez. Apa yang beliau inginkan ialah kawalan penuh ke atas proses perpindahan pemain dan juga akademi bolasepak Liverpool.


Spekulasi yang terbaru menyatakan Rafael Benitez akan menurunkan tandatangan ke atas kontrak baru sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Anfield pada hari Ahad ini (22 Februari). Laporan dari The Daily Mail menyatakan pemilik bersama Liverpool Tom Hicks dan George Gillett telah bertemu serta berbincang dengan Rafael Benitez mengenai tawaran kontrak yang ketiga kepada beliau pada hari Sabtu yang lepas.

Persoalan yang timbul ialah kedua-dua Hicks dan Gilliett telah bersetuju untuk memberikan kawalan penuh ke atas proses perpindahan pemain kepada Rafael Benitez tetapi isu berkaitan dengan kawalan ke atas akademi bolasepak Liverpool yang masih menjadi halangan untuk beliau menurunkan tandatangan ke atas kontrak baru itu. Diberitakan kontrak itu mengambil masa 4 tahun setengah dan bernilai kira-kira 15 juta pound.

Ramai yang tertanya, adakah Rafael Benitez akan terus komited dengan Liverpool? Atau sejauh manakah kebenarannya, yang beliau menjadi sasaran kelab-kelab ternama lain termasuk Real Madrid? Kesemua persoalan ini akan terjawab apabila Rafael Benitez menurunkan tandatangan ke atas kontrak baru nanti dan diharapkan persetujuan beliau akan menyemarakkan lagi cabaran Liverpool pada musim ini serta menghapuskan terus spekulasi yang mengaitkan beliau dengan kelab-kelab ternama yang lain. Kita tidak mahu ada pihak yang menangguk di air keruh jika isu kontrak ini terus berpanjangan.

0 comments:

<<